Sheikh Mohammad Khalil Al-Khatib

Sheikh Mohammad Khalil Al-Khatib


Nama, keturunan & gelar

Beliau ialah al 'Allamah al Muhaddith al Muhaqqiq al Faqih al Imam al Lughawi Sayyid Muhammad bin Khalil bin Muhammad bin Sayyid bin Ismail bin Ahmad al Khatib bin al Tunajji bi...n Salim bin Salam bin Salam bin Sa’adullah bin Afandi Muhammad bin ‘Aliyu bin al Bakri bin Ismail bin Muhammad bin Ismail bin al Qasim al Rassi bin Ibrahim Tobatoba bin Ismail bin Ibrahim al Fakhr bin al Hasan al Muthanna bin Imam Hasan al Sibt bin Amirul Mukminin Imam Ali dan Sayyidah Fatimah al Zahra’ binti Sayyiduna Muhammad Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Terkenal dengan gelaran 'Penyair Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam' di mana gelaran ini diberi oleh Syeikh Abdul Halim Mahmud yang merupakan Syeikhul Azhar pada waktu itu.

Kelahiran

Dilahirkan di desa Naidah, markaz Akhmim, muhafazah Suhaj, Republik Arab Mesir pada hari Selasa, 9 Mac 1909 (16 Safar 1327). Beliau merupakan anak tunggal kepada pasangan Sayyid Khalil dan Sayyidah Na'isah.

Pendidikan

Beliau mula menghafal al Quran semenjak kecil lagi dan berjaya menyelesaikan hafalannya ketika berusia 10 tahun. Setelah itu beliau mula menghafal sebahagian besar matan-matan ilmu sebelum melanjutkan pelajaran di Maahad Suhaj al Dini. Beliau berjaya menamatkan pengajiannya di Maahad tersebut dengan memperoleh Syahadah Ibtidaiyyah pada tahun 1924 (1342) ketika berusia 15 tahun. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah sehingga memperoleh Syahadah Thanawiyyah Azhariyyah pada tahun 1928 (1346) ketika berusia 19 tahun. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di Universiti al Azhar al Syarif, Kaherah sehingga berjaya memperoleh ijazah Syahadah 'Alamiyyah pada tahun 1933 (1357) ketika berusia 24 tahun. Kemuncaknya, beliau berjaya memperoleh Syahadah Takhassus (Ph.D) dalam bidang Bahasa Arab pada tahun 1936 (1354) ketika berusia 27 tahun.

Kerjanya

Selesai menamatkan pengajian di al Azhar al Syarif, beliau telah dilantik menjadi tenaga pengajar di Maahad Ahmadi, Tanta selama 30 tahun sebelum menjawat jawatan sebagai pensyarah Fakulti Usuluddin, Jabatan Dakwah di Universiti al Azhar al Syarif. Selain itu, beliau turut mengadakan majlis pengajian bertempat di Masjid al Muhafazah, Tanta.

Perkawinan

Beliau berkahwin dengan Sayyidah Aminah binti Abdul Rahman al Khatib ketika berusia 27 tahun dan dikurniakan Allah dengan lima orang cahaya mata iaitu 4 putera dan seorang puteri. Mereka ialah Muhammad, Mustafa, Mahmud, Ahmad dan Iman.

Mazhab & Masyrab

Sayyid Muhammad Khalil al Khatib merupakan seorang faqih bermazhab Hanafi. Namun begitu, beliau juga seorang alim lagi faqih dalam mazhab yang empat. Sering kali dalam majlis pengajiannya, beliau akan menjawab persoalan mengenai fiqh dengan mengemukakan pandangan daripada setiap mazhab. Beliau melalui masyrab sufi iaitu Khalwatiyyah dan Syazuliyyah di bawah bimbingan lima orang guru mursyid. Mereka ialah :
  1. Sayyid Abdul Jawwad al Dumi, syeikh Tariqat Khalwatiyyah.
  2. Sayyid Ali Daud, syeikh Tariqat Syazuliyyah.
  3. Sayyid Mahmud Husain Syalabi.
  4. Sayyid Abdullah Saad.
  5. Sayyid Muhammad al 'Aqqad, syeikh Tariqat Syazuliyyah Fasiyyah Wafaiyyah.

Perkara ini beliau sebutkan dengan jelas di dalam kitabnya yang bertajuk Ithaful Akhyar bi Asohhil 'Aqoidi wal Azkar pada bab Sanad al Khatib. Beliau diizinkan untuk memimpin Madrasah Syazuliyyah Khalwatiyyah pada bulan Mac 1938 bersamaan bulan Muharam 1357 ketika berusia 30 tahun. Oleh yang demikian, beliau merupakan pengasas Tariqat Khatibiyyah Syazuliyyah Khalwatiyyah.

Karya-karya

Beliau mula aktif dalam bidang penulisan ketika masih menuntut di peringkat menengah lagi. Sepanjang usianya, beliau telah menghasilkan sebanyak 77 buah karya yang merangkumi bidang Tafsir, Hadith, Nahwu, Sorof, Balaghah, Sirah, Fiqh, Syair-syair Arab dan artikel-artikel semasa. Kitab yang telah mengharumkan nama beliau di kalangan para ulama' bertajuk Ithaful Anam bi Khutob Rasulil Islam yang menghimpunkan sejumlah 574 khutbah-khutbah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dalam pelbagai perkara. Beliau menghabiskan masa selama 15 tahun untuk menyiapkan kitab tersebut. Ini menggambarkan kepada kita tentang kesabaran dan ketelitian beliau bagi menghasilkan sesuatu yang berkualiti. Beliau merupakan contoh terbaik sebagai penulis yang sabar, sasterawan yang kreatif serta pengkaji yang teliti.

Kewafatan

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada hari Jumaat, 21 Februari 1986 (12 Jamadil Akhir 1406) dalam usia 77 tahun. Jenazah beliau disemadikan di Masjid al Muhafazah, Tanta. Semoga Allah meredhai beliau serta membalas jasa-jasa beliau dengan sebaik-baik pembalasan. Amin.

Sumber

  • Nafhatul Qabul fi Sirah Syair ar Rasul, Syeikhuna Sayyid Mahmud Bin Muhammad al Khatib al Hasani, terbitan tahun 1987.
  • Ithaful Akhyar bi Asohhil 'Aqoidi wal Azkar, Imam Muhammad Khalil al Khatib al Hasani, halaman 11-13, terbitan tahun 2002.
  • Al Qasasul Haq li Sayyidil Khalq, Imam Muhammad Khalil al Khatib, pada muqaddimah, terbitan tahun 2000.
  • Gema Negeri Edisi Perdana, ruangan tokoh, Danial Farhan bin Dolmat, terbitan Badan Kebajikan Anak-anak Negeri Sembilan Mesir (BAKANS).(Habib Ahmad bin Faqih Ba Syaiban )

Baca juga :